UCAPAN DASAR
YANG DIPERTUA PMKUM SESI 2007/2008
SEMPENA MESYUARAT AGUNG KALI KE-31
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima Kasih kepada saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berusaha Pengarah dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana
Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-31,
Yang dikasihi barisan kepimpinan PMKUM sesi 2007/2008,
Yang Diraikan dif-dif kehormat serta para tetamu jemputan
Yang dihormati sidang perwakilan dan para pemerhati
Serta rakan-rakan dan teman-teman yang dirahmati Allah sekalian.
Izinkan saya memulakan teks ucapan ini dengan menyebut : ‘Kita bukanlah jaguh yang memulakan perjuangan. Kita juga bukanlah pengecut yang mengakhirkan perjuangan. Tetapi kita adalah mata rantai-mata rantai yang meneruskan kesinambungan perjuangan’
Alhamdulillah, segala puja puji kesyukuran kita panjatkan kepada Allah swt Tuhan pencipta alam semesta, kerana hanya dengan limpah kasih juga sayang-Nya lah kita dapat berkumpul bersama menghadiri satu pertemuan penting dan penuh bermakna ini. Terlebih dahulu, kami barisan kepimpinan PMKUM sesi 2007/2008 memanjangkan salam ukhuwah dan salam perpaduan kepada saudara-saudari sekalian di atas kesudian melapangkan sedikit masa untuk hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PMKUM kali ke-31 ini. Semoga pertemuan dan perhimpunan kita pada hari ini menjadi saksi kepada utuhnya semangat perpaduan yang dilaung-laungkan selama ini. Dengan peluang yang ada ini, marilah kita sama-sama menilai kembali perjalanan PMKUM sesi ini. Kemukakanlah perbahasan yang matang, berilah kritikan yang membina dan carilah alternatif yang terbaik demi kecemerlangan PMKUM sesi akan datang. Moga-moga Allah S.W.T meredhai cita-cita dan hasrat mulia kita ini.
PMKUM : SEJARAH RINGKAS
Menyorot kembali sejarah Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya sejak dari penubuhannya pada 11 November 1976, kini ianya sudah menjangkau usia 31 tahun. Bangkit dengan nama PMKUM, sebenarnya kita adalah antara perintis kepada kewujudan persatuan anak negeri di Universiti Malaya ini. Setelah didaftarkan secara sah dengan Hal Ehwal Pelajar (sekarang Hal Ehwal Pelajar & Alumni), PMKUM kini masih lagi berperanan untuk menghimpunkan anak-anak Kelantan yang berada di Universiti Malaya ini. Dengan bilangannya yang ramai, maka sejak penubuhannya lagi kita masih lagi berdiri dengan kuantiti ahli yang paling ramai di universiti perdana ini.
Sematang usianya, PMKUM pada sesi ini terus mengorak langkah maju mendepani cabaran untuk mengekalkan kecemerlangannya demi merealisasikan sebuah persatuan yang berkualiti untuk memimpin ke arah perpaduan. Kecemerlangan PMKUM harus diteruskan, kepimpinan silih berganti tetapi matlamat dan objektif kekal tradisi. Pada sesi ini, PMKUM mempertaruhkan ‘kabinet mahasiswa’ yang membariskan gandingan baru daripada pelbagai latar belakang sosial yang berbeza dan fakulti yang berlainan. Gandingan yang pelbagai ini cuba sedaya upaya untuk menjalinkan kemesraan dan kebersamaan dalam setiap aktiiviti persatuan bagi mendokong agenda yang satu iaitu PERPADUAN!
PMKUM : SENARIO DAN REALITI YANG BERLAKU
Namun, apa yang tampak di depan mata sekarang ini jauh dari apa yang tertulis di atas. Perpaduan yang diharapkan tidak menjadi. Budaya hidup berseorangan telah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian mahasiswa kelantan. Jauh lagi untuk berpersatuan. Suka atau tidak, inilah kenyataannya sekarang. Seringkali perbezaan pendapat dan rasa tidak puas hati menjadi pemicu kepada perpecahan. Manis di muka masam di belakang.Akibatnya, persatuan yang menjadi sasaran.
Senario yang ada begitu menggugah perasaan. Budaya hidup anak-anak Kelantan yang tidak suka untuk berpersatuan menimbulkan kebimbangan. Inilah yang kami fikirkan. Buatlah apa-apa program pun, tetapi sambutan tetap tidak memuaskan. Walaupun sedikit perubahan positif dilihat pada sesi ni dengan mengambil kira kehadiran dan sambutan terhadap program, namun masih tidak seperti yang disasarkan. Saya lontarkan permasalahan ini kepada semua untuk kita sama-sama fikirkan. Adakah kerana wujudnya perbezaan?
Sebenarnya tiada yang salah dengan perbezaan. Apa yang salah adalah sikap segelintir kita yang tidak tahu menyingkapi perbezaan yang ada. Bukankah Allah swt mencipta keindahan melalui perbezaan? Diciptakannya lelaki dan wanita, langit dan bumi dan segala sesuatu yang sifatnya pro dan kontra adalah sebagai pembuktian bahawasanya kehidupan ini penuh dengan perbezaan yang biasa kita sebut dengan sunnatullah.
Kerana inilah, PMKUM mengambil sikap menawan hati. Maksudnya di sini kami bercita-cita menjadi penyatu antara hati-hati. Menolak jauh-jauh apa yang disebut ta’asubiyyah sehingga tertutup apa yang sebenarnya harus diterima dan ditolak. Kami sedar mahasiswa/wi Kelantan mempunyai latar belakang yang berbeza. Bermula dari latar belakang institusi pengajian terakhir mereka sebelum berpijak ke bumi Universiti Malaya ini, latar belakang keluarga dan peribadi, daerah, pengaruh pemikiran politik dan banyak lagi yang akan menjadi sebab pemisah antara kita seandainya perbezaan itulah yang dicari. Kita tidak mahu hanya kerana perbezaan yang sedikit maka, keharmonian sesama kita harus tercabik-cabik.
PMKUM : VISI, MISI ,TEMA DAN PROGRAM SEBAGAI SENJATA MEMBENTUK PERPADUAN
Menyedari hakikat inilah, maka kita telah menerapkan tiga asas utama dalam pentadbiran PMKUM sesi ini iaitu KEMESRAAN, KEBERSAMAAN dan juga PERPADUAN. Ketiga-tiga asas ini kemudian disimpul menjadi satu ikatan ayat iaitu “ Menjalinkan Kemesraan Dalam Kebersamaan Untuk Membentuk Perpaduan” .Asas inilah yang dijadikan sebagai VISI PMKUM untuk sesi ini.
Bagi mencapai visi tersebut, maka satu rumus yang sederhana telah dibentuk dan dilaung-laungkan iaitu yang dikenali sebagai ‘5K PMKUM’.
‘K’ yang pertama iaitu ‘Kepimpinan Bersama’. Ia merupakan misi utama PMKUM sesi ini yang bertujuan untuk melahirkan barisan pimpinan yang mempunyai kesatuan minda dan kerja. Kesatuan yang dibentuk, kemudiannya akan melahirkan sistem pengurusan yang mengikut perancangan yang secara tidak langsung akan menggerakkan sumber manusia di peringkat PMKUM itu sendiri. Menyedari hakikat inilah, maka kami telah menganjurkan Kursus Induksi Pimpinan dan Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) pada awal sesi pentadbiran kami.
‘K’ yang kedua adalah ‘Kemesraan dan Keterbukaan dalam Berpersatuan’. Kemesraan disini adalah bermaksud kemesraan dalam memimpin. Kita telah berjaya mewujudkan satu hubungan yang baik dengan pihak pentadbiran Universiti Malaya dan juga persatuan-persatuan Anak Negeri yang lain seperti PERMADAH, PERMARAK, PERMANIS, dan PERMATA. Selain itu, kita juga telah menjalinkan perhubungan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPM) dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) itu sendiri. Item keterbukaan pula menandakan kami diperingkat pimpinan cuba untuk menjadi ‘open minded leaders’ dalam segala hal. Kita berlapang dada di atas perkara yang diselisihi dan bersepakat di atas perkara yang dipersetujui. Ia terkandung dalam konteks komunikasi ahli dengan pimpinan.
‘K’ yang ketiga adalah ‘Kemasyarakatan dan Perpaduan yang Menyeluruh’. Maksud menyeluruh disini ialah kita bukan sahaja ingin membina dunia mahasiswa yang diselubungi dengan suasana kampus sahaja, tetapi kita juga ingin membina satu pola gerakan yang dinamik dan proaktif dengan melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan. Justeru, pada sesi ini kita telah berjaya menganjurkan Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) yang diadakan selama lima hari dan berjaya melibatkan ahli PMKUM yang terdiri daripada pelbagai fakulti. Kita juga berusaha menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana yang bertujuan untuk memasyarakatkan PMKUM dengan mahasiswa/wi Kelantan yang lain secara lebih dekat. Kem Motivasi Sekolah juga dilaksanakan bagi membuktikan kami serius dalam hal ini. Dengan terlaksananya ketiga-tiga program tersebut, maka kami dapat mencapai misi kemasyarakatan dengan hubungan pelbagai pihak seperti orang kampung, pentadbiran sekolah dan mahasiswa itu sendiri.
‘K’ yang keempat adalah ‘Keilmuan dan Kemahiran Berintegrasi’ . Misi ini dirangka adalah bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai ‘added-value’ yang sempurna dan ‘multi talented’. Budaya ilmu yang diterapkan dalam pentadbiran seperti perbincangan isu dan pengisian kerohanian adalah menunjukkan PMKUM sesi ini masih lagi menerapkan elemen keilmuan dalam pentadbirannya. Kita juga telah berusaha membina karektor mahasiswa kelantan supaya lengkap dengan kepelbagaian kemahiran melalui program yang telah dianjurkan oleh PMKUM seperti Bengkel Fasilitator (GROFAS) dan Bengkel Kemahiran Memasak. Kemahiran dan ilmu dalam perniagaan juga diserapkan kepada ahli PMKUM pada sesi ini dengan menyerapkan mereka kepada PMKUM untuk menjadi tenaga penggerak kepada program Citarasa Darul Naim (CDN).
‘K’ yang terakhir adalah ‘Kebajikan dan Keperihatinan Bersama’. Memang aspek kebajikan dalam PMKUM sudah amat sinonim sejak kepimpinan sebelum ini. Masakan tidak, setiap tahun kita berjaya menguruskan masalah pengangkutan pulang beraya ke Kelantan. Program Pulangnya Perantau adalah nama baru yang mengantikan nama tradisi program sersebelum ini iaitu Lambaian Aidilfitri. Walaupun namanya sedikit berubah, tetapi maltlamat dan objektif program berada pada kondisi yang sama iaitu untuk menjaga kebajikan ahli.
Hadirin-hadirat sekalian,
Seperti tahun-tahun sebelumnya, PMKUM sentiasa hadir dengan slogan barunya sesuai dengan pembawakan sesi tersebut. Kali ini kita telah memilih slogan baru iaitu “Bersama Merealisasikan Perpaduan”. Hadir dengan membawa agenda perpaduan, kami menyedari ia bukanlah semudah yang ingin dibina. Tetapi kami lebih menyedari bahawa tanpa perpaduan, asas yang sudah dipacakkan pasti akan roboh jua. Banyak sejarah yang membuktikan tanpa ‘team-work’, suatu komuniti itu tidak akan kekal lama. Contoh yang paling dekat adalah pada tubuh PMKUM sendiri yang pernah mengalami masa surutnya beberapa sesi yang lepas. Ini terjadi hanya kerana sifat untuk mendewakan kepentingan individu. Di atas pertimbangan inilah, maka sebuah gerakan dan angkatan yang dibina dengan rasa perpaduan yang jitu dirasakan amat relevan. Disinilah tersemainya keyakinan kami bahawa penyelesaian terhadap isu kebersamaan dalam berpersatuan adalah hanya perpaduan sejati.
PMKUM : MEMACU PERUBAHAN MEMPERKASA PERSATUAN
Saya menyedari, setiap perubahan sesi kepimpinan sememangnya mempunyai wawasan tersendiri terutama dalam rangka usaha melakukan perubahan. Perubahan yang diperlukan adalah dari aspek pengurusan, program dan pembawakan PMKUM itu sendiri. Pimpinan yang akan mengambil alih kepimpinan PMKUM selepas ini haruslah melihat ketiga-tiga aspek yang saya nyatakan ini sebagai perkara asas untuk memacu perubahan.
Aspek pengurusan memang tidak dapat dinafikan kepentingannya. Tetapi apabila kita menyebut soal pengurusan, jangan kita hanya terfikir dalam aspek teknikal seperti pendokumentasian dan pemfailan sahaja, tetapi kita harus menyedari bahawa pengurusan merangkumi kesemua aspek kerangka kepimpinan. Bermula dengan perancangan untuk menetapkan visi dan misi persatuan, kemudian digerakkan dengan aspek perlaksanaan dan kawalan serta diakhiri dengan aspek penilaian. Inilah nilai sebenar sesebuah persatuan yang berpengurusan.
Memacu perubahan dan memperkasakan persatuan juga dapat dijayakan dengan merangka program-program yang akan dijalankan sepanjang sesi. PMKUM harus digerakkan dengan beberapa langkah ke depan dan bersedialah untuk meneruskan perjuangan pimpinan sesi ini untuk membawa PMKUM keluar dari kepompong gelaran persatuan yang bertaraf budak sekolah sahaja. Maksudnya di sini, program-program yang diatur mestilah lebih mencapah dan mengambil kira pelbagai aspek dan sasaran dan tidak hanya terfokus kepada sesuatu pihak dan kepentingan sahaja. PMKUM harus bersungguh-sungguh mengorak langkah menganjurkan program yang membawa agenda besar khususnya melibatkan masa depan mahasiswa Kelantan itu sendiri. Aspek keilmuan, kepimpinan, keusahawanan ,kesukanan, kemasyarakatan, kebajikan dan kebersamaan harus diteruskan.
Selain itu, kita juga mestilah menyesuaikan pembawakan PMKUM ini selari dengan kehendak semasa dan ahli PMKUM itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan latar belakang yang berbeza. Menyedari hakikat ini, kami pihak persatuan sedaya upaya menggerakkan kekuatan utama kita sebagai anak-anak Kelantan iaitu sifat berpuak. Memang sekali pandang, kita mengatakannya sebagai negatif. Tetapi tanggapan awal ini mesti cepat diubah dengan kita menggunakan sifat tersebut untuk menukarkannya menjadi positif. Maksudnya adalah, kita ikatkan mereka dengan PMKUM ini dan kita doktrinkan mereka dengan semangat perpaduan dan kebersamaan yang jitu. Itulah langkah yang perlu di ambil serius selepas ini.
Sebenarnya, inilah pembawakan yang ingin dibawa oleh kepimpinan kali ini. Kita mahukan ahli PMKUM dapat bersama-sama dengan kita dan dalam masa yang sama kita mengetepikan soal perbezaan yang wujud demi melihat kesatuan yang diimpikan. Oleh itu, hasrat ini amat memerlukan sokongan dan penghayatan daripada semua pihak. Pimpinan tidak boleh hanya syok sendiri dalam memikirkan hasrat ini. Ahli pula tidak boleh duduk bergoyang kaki tanpa mengambil peduli apa tugas, peranan, sumbangan dan tanggungjawab yang perlu dipikul untuk merealisasikan agenda sebesar ini. Kita tidak punya banyak masa lagi. Kita perlu bangkit melakukan perubahan demi perubahan untuk merealisasikan perpaduan.
PMKUM : MENYAMBUNG PERJUANGAN MEMIMPIN PERPADUAN
Walau apapun perubahan yang kita ingin lakukan, jangan sesekali ketepikan soal perpaduan. Jangan sesekali bangkitkan sensitiviti perkauman. Jangan mendahulukan soal kepartian. Jangan cuba memecahkan perpaduan. Kita berjuang memimpin perpaduan. Kita berjuang ke arah persefahaman. Kita bangkit atas kekuatan kesatuan minda dan amal. Kita harus menyedari hakikat ini. Jangan sesekali kita lakukan. Kelak nanti kita kerugian.
Tiada apa yang mahu saya hasratkan melainkan kita mencari titik-titik persamaan. Tidakkah kita ingin melihat anak-anak Kelantan bersatu padu? Tidakkah kita ingin menyaksikan kita adalah sebagai keluarga besar yang mesra? Saya yakin, kita mengimpikan semua itu kerana inilah kekuatan tradisi kita. Cuma bagaimana kita hendak melakukannya? Jawapannya tidak lain tidak bukan, kita mesti mencari titik persamaan. Dan titik itu tidak lain tidak bukan adalah perpaduan.
Hadirin-hadirat sekalian,
Perpaduan sahajalah yang akan memungkinkan segala kejayaan dalam merealisasikan perancangan persatuan. Kerana dengan perpaduan sahajalah hati-hati kita merasai sifat sayang menyayang. Kerana perpaduan jugalah kita akan bangkit gagah mendepani cabaran. Perpaduan yang diimpikan jangan sesekali tinggal impian. Impian harus digenggam seperti menggengam bara api. Biarpun hitam, kita jangan hentikan. Kita inginkan kejayaan di sebalik kepahitan. Sama-sama kita pastikan ia menjadi milik kita. Menjadi milik PMKUM.
Sudah tiba masanya kita melakukan perubahan. Sudah tiba masanya untuk kita terus meletakkan PMKUM berdiri sebaris dengan persatuan lain di kampus perdana ini. Fikiran kita harus terbuka dan pemikiran tertutup harus diubah. Bersemangat tinggi, berjiwa besar, berfikiran jauh ke depan dan sanggup berkorban sahajalah yang akan memastikan agenda ini tidak hanya tinggal pada impian sahaja. Biarlah imej negatif pergi meninggalkan kita. Tetapi yang pasti, berjanjilah untuk tahun-tahun yang mendatang, kita berdiri dengan nama PMKUM yang menjadi contoh kepada persatuan lain di Universiti Malaya dari segenap aspek.
Akhir kata, perjuangan yang direntasi dan usaha persis yang dipersembahkan, tidak bermakna tanpa keikhlasan. Dengan ruangan yang ada pada hari ini, marilah kita ikhlaskan hati kita untuk sama-sama merencanakan gerakan persatuan yang lebih gemilang untuk masa hadapan. Luahkan idea, kritikan dan pendapat anda untuk kepentingan persatuan dan bukanlah bersifat peribadi.
Saya mewakili barisan pimpinan mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama, sokongan, pengorbanan, idea dan sumbangan saudara-saudari sekalian kepada kami. Segala kelemahan dan kesilapan lalu, marilah kita perbaikinya dari semasa ke semasa. Kita berdoa kepada Allah agar laluan perjuangan yang kita bakal lalui selepas ini mendapat pertolongan dan keredhaanNya selalu.
Sekian, wassalamualaikum Waramatullahi Wa Barakatuh. Selamat bermesyuarat.

